Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru (JQA 3002) Pengerang

PROJEK SEKOLAH AWAM > KLIK BANNER

Gerakan Projek Sekolah Awam, satu gerakan bebas yang berusaha membangkitkan kesedaran budaya ilmu dan berfikir di kalangan remaja dan belia di Negeri Johor.

MEMBINA BUDAYA ILMU

Berusaha sedaya upaya membina budaya ilmu dan intelek dalam segenap aspek.

MODUL PELAJAR 21st KUASA DUA > KLIK BANNER

4x2=8. Bagaimana dengan 4 Kuasa 2. Jawapannya 16. Bagaimana membina murid yang hasilnya berganda dengan sumber kekuatan yang sama.

MODUL 21st SMILE (SMART ISLAMIC LEADER) > KLIK BANNER.

Membina remaja yang berdaya kepimpinan segar dan relaven selaras AL-Quran dan As-Sunnah.

MODUL 21st FAMILY > KLIK BANNER

Walaupun Allah SWT memerintahkan anak mendoakan ibu bapa namun Allah turut mendidik ibu bapa melalui doa tersebut. Apa doanya? Bagaimana?

Saturday, August 20, 2016

GEJALA SOSIAL : 2 MINIT BERSAMA PROJEK SEKOLAH AWAM

Percubaan pertama slot 2 minit bersama Projek Sekolah Awam. Akan datang pengisian yang lebih segar dari anak muda Johor di bawah Projek Sekolah Awam.

Sunday, July 17, 2016

Forum Istilah Kafir Harbi: IKRAM ternyata IKRAM, ASWAJA memang begitu, kredit untuk UMNO

Tahniah Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) atas penganjuran Forum Istilah Kafir Harbi Masih Relevan Atau Tidak? Seawal saya menjangkakan bahawa forum ini akan sedikit kucar kacir kerana akan berlaku debat istilah atau debat makna kerana penganjur secara langsung meletakkan perkataan istilah. Untuk perkara ini saya bersetuju dengan ahli panel dari IKSIM yang mengatakan walaupun tidak ada pencuri, istilah pencuri tetap relevan kerana apabila situasi itu berlaku kita tahu dia pencuri.

Saya sendiri hadir dengan perasaan teruja untuk mengetahui label kafir harbi itu ingin kita sarungkan kepada siapa di Malaysia? Andai kata DAP dimana harbinya? Untuk itu terima kasih kepada sahabat yang bertanya kepada Dr. Maszlee Malik tentang tindakan Alvin Tan yang telah menghina Al-Quran dengan menggunkan Al-Quran sebagai pengelap najis. Amat tepat jawapan Dr. Maszlee Malik apabila menjawab Alvin Tan bukan kafir harbi tetapi penjenayah yang perlu diambil tindakan undang-undang.

IKRAM TENYATA IKRAM

Slogan Islam Rahmatal Lil A’lamin yang seringkali IKRAM laungkan bukan sekadar slogan. Ustaz Hasanuddin yang merupakan Mantan Timbalan Presiden IKRAM dan sekarang Naib Presiden Parti Amanah Negera turut membawa mesej yang sama iaitu dakwah dan dakwah. Mereka sama sekali tidak menafikan penggunaan istilah tetapi membawa kepada dimensi tindakan. Mengharbikan rakyat Malaysia bukan satu tindakan yang bijak kerana pada kita tidak semestinya harbi menidakkan ruang dakwah tetapi pada pemahaman mereka title harbi membawa halal darah dan harta. Sebab itu saya katakan IKRAM TERNYATA IKRAM.

Seandainya kita telusuri sebelum forum ini bermula satu strategi jahat telah di mainkan oleh satu page FB KAMI TIDAK MAHU FAHAMAN WAHABI DI MALAYSIA. Mereka telah mengorek dan menyelongkar FB Dr. Maszlee Malik dengan tujuan untuk membunuh karakter Dr. Maszlee Malik. Boleh saya katakan saya sudah menjangkakan panel IKSIM dan ASWAJA akan bergabung untuk menyentuh peribadi Dr. Maszlee Malik. Ini terbukti apabila panel IKSIM mengakui sendiri mendapat arahan dari panel ASWAJA agar menyemak FB Dr. Maszlee Malik. Panel IKSIM sendiri seawal muqaddimah bicara telah menyerang Dr. Maszlee Malik secara tiba-tiba dan konsisten sehingga penggulungan. Tidak perlulah saya sebutkan tentang panel ASWAJA. Saudara boleh nilai sendiri. Tetapi tidak perlu pelik. ASWAJA MEMANG BEGITU.
Kredit kepada wakil Pemuda UMNO, Dato’ Dr. Fathul Bari seawal bicara telah membuktikan dirinya seorang yang cukup berhati-hati. Pandangan Dato’ Dr. Fathul Bari amat harmoni dan berakhlak. Menggunakan masa penyampaian hanya untuk membincangkan tentang isu yang dibincangkan dan penuh dengan nasihat dan mesej. Tahniah kepada Pemuda UMNO anda mempunyai pelapis pemimpin yang hebat. Cepat-cepat angkat Dato’ Dr. Fathul Bari sebagai Presiden UMNO.
Semoga wacana ilmu seperti ini dapat diperbanyakkan dan mudah-mudahan disambut baik oleh NGO-NGO lain di Malaysia.
Boleh tonton video rakaman forum di https://www.youtube.com/watch?v=DFObSeE5aiA
“Kami Menjulang Demokrasi Ilmu”

Friday, June 17, 2016

2 Tips Mudah Untuk Memilih Pemimpin

Memilih ketua atau pemimpin bukan satu perkara yang boleh dipandang mudah seperti masak mee segera 2 minit. Walaupun pada dasarnya seseorang tidak menanggung kesilapan atau dosa orang lain sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am :164,

Katakanlah: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);
Namun pandangan Raja’ Bin Haiwah Al-Khindi penasihat kepada Khalifah Sulaiman Bin Abd Malik (Khalifah Islam sebelum Umar Bin Abd Aziz) mungkin boleh dijadikan garis panduan. Katanya;
Wahai Amirul Mukminin, ketahuilah bahwa yang akan menyelamatkan Anda dari tanggung jawab kelak di hadapan Allah adalah dengan menunjuk seorang pengganti yang shalih untuk umat ini. Sedangkan putra Anda itu masih terlampau kecil, belum dewasa, belum dapat dijamin kebaikan dan keburukannya.” Beliau berkata, “Ini hanya tulisan main-main saja. Untuk itu, aku hendak shalat istikharah dahulu.” Kemudian beliau merobek tulisan tersebut.
(Mereka adalah Para Tabi’in, Dr. Abdurrahman Ra’at Basya, At-Tibyan, Cetakan VIII, 2009)
Andai seorang pemimpin perlu mencari bakal pemimpin yang soleh sudah pasti bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha menjadikan seorang biasa-biasa kepada menjadi pemimpin akan ada kebaikan yang mengalir. Dalam artikel ini saya akan berikan tips bagaimana untuk pilih pemimpin atau ketua.

TIPS 1 – Layak dalam bidang kepimpinan

Pemimpin yang dipilih hendaklah seorang yang berkelayakkan dalam bidang kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan. Ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Qosas : 25,
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
Ilmuan Islam di dalam bidang Syiasah Syarieyah berpandangan ayat ini menjadi panduan asas bagi pemilihan seorang untuk diberikan jawatan. Bagi seorang akauntan kita tidak perlukan seorang yang kuat lagi sado tetapi kita perlukan seorang yang amanah. Begitu juga untuk jawatan Panglima Angkatan Tentera kita perlukan seorang yang kuat walaupun kurang soleh. Rasulullah SAW sendiri tidak memecat Khalid Ibn Al-Walid walaupun rekod sejarah menunjukkan Khalid Ibn Al-Walid pernah melakukan beberapa perkara yang dilarang oleh Ar-Rasul seperti membunuh tawanan perang.

TIPS 2 – Selari dengan dasar perjuangan Rasulullah

Ambil masa untuk semak dasar dan perjuangan yang dibawa oleh mereka adakah selari dengan dasar perjuangan Ar-RAsul SAW ataupun tidak.
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.
(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
Maka, setiap orang yang ingin kita lantik sebagai seorang pemimpin harus membawa misi rahmah dan hikmah. Sekiranya dasar yang dibawa setelah menjadi ketua akan menjadi fitnah dan mengundang persepsi negatif kepada agama rasanya orang tersebut tidak boleh kita angkat sebagai pemimpin. Begitu juga sekiranya setelah menjadi ketua orang tersebut akan menyokong atau telah mempunyai kecenderuangan untuk memilih bersama dasar yang tidak rahmat dan hikmah maka orang tersebut perlu difikirkan semula untuk diangkat menjadi ketua.
Mungkin saudara-saudari boleh tambah ciri-ciri yang lain yang sesuai dengan kriteria yang saudara-saudari inginkan namun 2 tips di atas hendaklah menjadi panduan. Ada orang dia suka pemimpin yang mudah dilihat, tidak selalu outstation tetapi ada orang mahu pemimpinnya terkenal di mata dunia. Terpulanglah mana-mana yang baik.
Baca juga di http://jalurgemilang.my/2016/06/2-tips-mudah-untuk-memilih-pemimpin/

Friday, May 13, 2016

Tauladan Daripada Kisah Umar, Jom Buat Baik!

Ramadan akan menjengah. Sudah pasti para pencinta Tuhan atau di Eropah dikenali dengan People Hungry For God akan melakukan persiapan yang cukup rapi bagi menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak. Saya ingin kongsikan satu kisah yang mungkin kisah ini akan memberi sedikit motivasi kepada kita para pencinta Tuhan agar bersegera dalam menuju Tuhan. Saya yakin bahawa bukan saya seorang tetapi anda semua kita merupakan People Hungry For God.

Satu pagi ramai dikalangan pembesar mahu berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab. Ketika itu ada juga pembesar-pembesar Quraish yang masuk Islam selepah Fattahul Makkah seperti Suhayl Bin Amr dan Abu Sufian. Mereka ini menentang Rasulullah SAW tapi masuk Islam kemudian. Siapa tidak kenal Suhayl Bin Amr yang suatu ketika dahulu keras menentang Nabi SAW dalam beberapa kisah. Namun selepas masuk Islam Suhayl Bin Amr pernah kutip rambut Nabi SAW atas dasar sayang pada Nabi. Mereka agak senior dalam Islam tapi tapi tidak senior Salman Al-Farisi, Bilal Bin Rabbah atau Suhaib ar-Rumi.
Apabila kita bercerita tentang sejarah maka wajib kita bayangkan yang dimensi masa pada ketika itu. Pada masa tersebut Umar al-Khattab sangat famous. Inilah insan yang telah menjatuhkan kerajaan Rom dan Parsi. Dibawah kepimpinan Umar al-Khattab tertangkapnya Hurmuzan Raja Rom. Sudah pasti ramai orang yang berdiri di hadapan pintu rumah Amirul Mukminin untuk bertemu beliau. Ketika Umar al-Khattab membuka pintu apakah perkataan pertama Umar al-Khattab;
Dimanakah Bilal? Dimana Shuaib dan dimana Salman?
Lalu Umar al-Khattab menjemput ketiga-tiga sahabat agung Baginda Rasulullah sallallahu a’laihi wasallam ke dalam rumahnya. Muka pembesar Quraish seperti Abu Sufyan berubah. Kata pembesar Quraish tersebut;
Tak sangka kan. Kita kena tunggu. Diorang yang masuk dulu.
Kata Suhayl Bin Amr;
Aku nampak pada muka kamu yang kamu tidak puas hati. Wahai kaum, kamu patut marah kepada diri kamu sendiri. Mereka diberikan Islam dan kita juga diberikan Islam tapi mereka mengambilnya dan kita menentangnya. Andai kata di hadapan pintu Umar ini kita sudah cemburu maka apatah lagi di hadapan Allah kelak. Sudah pasti mereka melebihi kita.
Kisah ini merupakan satu motivasi kepada saya dan kita semua. Allah Azzawajal memperuntukkan sebahagian dari kalamnya di dalam Al-Quran agar kita bersegera menuju kebaikkan. Dalam Surah Ali-Imran ayat 133 Allah berfirman;
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.
Lihatlah bulan Ramadan nanti. Akan ada satu golongan yang rugi. Ketika manusia lain sedang bersegera melakukan kebaikan ada yang sedang tawaf pasar malam dan bazar Ramadan. Ketika manusia mulakan halaqah Al-Quran pada hari pertama pasti akan ada yang menanti hari esok untuk memulakannya. Pada saat insan lain sudah cukup 30 juzu’ kita masih Surah al-Baqarah. Betapa ruginya kita. Betapa ruginya kita apabila Ramadan menyapa wajah kita tetapi kita tidak mendapat keampunan Tuhan.
Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhuma; Bahwasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menaiki mimbar, dan ketika menaiki anak tangga pertama beliau mengucapkan: Amiin! Kemudian menaiki anak tangga kedua maka beliau mengucapkan: Amiin! Kemudian menaiki anak tangga ketiga maka beliau mengucapkan: Amiin!
Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, kami mendengarmu mengucapkan “Amiin” tiga kali?
Baginda menjawab:
“Ketika aku menaiki anak tangga pertama, Jibril shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangiku dan berdo’a: “Sengsaralah hamba yang mendapati Ramadhan kemudian berlalu darinya dan dosanya tidak diampuni!”Maka aku mengucapkan: Amiin! Kemudian Jibril berdo’a lagi: “Sengsaralah hamba yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satu dari keduanya lalu keduanya tidak bisa memasukkannya surga (karena tidak berbakti)!” Maka aku mengucapkan: Amiin! Kemudian Jibril berdo’a lagi: “Sengsaralah hamba yang disebut namamu di sisinya dan ia tidak bershalawat kepadamu!” Maka aku mengucapkan: Amiin!”
[Al-Adab Al-Mufrad karya Al-Bukhariy: Sahih]
Ramadan yang lalu kita sudah rugi. Tidakkah kita mahu untung Ramadan kali ini?

Thursday, April 21, 2016

Sempena Final Kilauan Emas – Jailani Mohd Yusoff

Kilauan Emas Otai 2016 akan melabuhkan tirai pada malam ini. Selama 7 minggu 15 otai membuat persembahan dengan pelbagai gaya dan lagu bagi memikat rakyat agar mengundi mereka bagi memastikan otai dapat terus beraksi sehingga final.
 Syabas dan tahniah kepada 15 peserta melayu muslim yang terpilih untuk beraksi di Kilauan Emas Otai 2016 dan 4 peserta yang akan beraksi pada malam ini. Islam tidak melarang untuk berhibur dalam kerangka yang dibenarkan.

Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“Rasulullah sallallahu alaihi wasallam datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu”
(Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W tidak melarang hiburan. Sekiranya hiburan itu haram secara mutlak sudah pasti Rasulullah S.A.W akan melarang nyanyian dalam majlis tersebut. Namun apa yang berlaku Rasulullah S.A.W hanya meminta diubah lirik lagu tersebut di bahagian “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok” kerana Rasulullah S.A.W tidak akan mengetahui apa yang berlaku pada masa mendatang sekiranya Allah tidak mengkhabarkan kepada Rasulullah S.A.W
.
Rakyat semakin penat. Peningkatan kos sara hidup dan cabaran kerjaya menyesakkan dada rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai kaedah dan langkah telah kerajaan Malaysia perkenalkan namun turun naik ekonomi dunia turut memainkan peranan dalam menentukan ekonomi Malaysia. Rakyat terpaksa survive dengan pelbagai cara untuk memastikan kelangsungan hidup di Malaysia. Waktu bekerja bukan sekadar siang tetapi bertambah ke malam. Cadangan rakyat Malaysia melakukan 2 atau 3 kerja di sambut baik. Natijahnya rakyat penat dan tidak sempat menuntut ilmu. Bagi mengubati kepenatan seharian maka pilihan mudah adalah hiburan dan ketawa. Maka berlumba-lumba stesen television mengeluarkan rancangan yang membolehkan rakyat bergelak ketawa. Pelawak-pelawak serta penghibur dibayar dengan begitu mahal semahal bayaran perubatan merawat kanser tahap 4 kerana di sisi stesen television pelawak dan penghibur ini adalah doktor yang merawat penyakit.

Agak sukar untuk Malaysia mencapai tahap generasi Ulul Albab iaitu generasi yang mempunyai akal yang waras sekiranya hiburan mendahului segalanya. Generasi Ulul Albab merupakan satu generasi yang mementingkan nilai keilmuan dan akal fikiran yang sempurna seperti mana yang Allah sebut di dalam Al-Quran;
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
Surah Az-Zumar : 18
Majlis selawat perdana mula mendapat tempat. Ratusan ribu wang dibelanjakan untuk mengimport penyanyi dari luar semata-mata untuk mengubati kepenatan masyarakat. Selepas berqasidah selama 2 jam hingga 3 jam masyarakat merasa puas walaupun sebenarnya mereka tidak berbuat apa-apa dan tidak mendapat apa-apa. Itu tidak dikira pelbagai dakwaan pelik yang dibuat semata-mata untuk memastikan program selamat perdana kekal relevan. Perbahasan ilmu semakin menguncup dan slogan generasi Ulul Albab semakin dilupakan.
Bagaimana pula generasi pada masa akan datang?
Baca juga di http://jalurgemilang.my/2016/04/sempena-final-kilauan-emas-jailani-mohd-yusoff/

Wednesday, April 13, 2016

Zakir Naik vs Selena Gomez: Malaysia di Ambang Kecelaruan

Selamat datang Dr. Zakir Naik ke Malaysia. Saya cukup berbangga menyampaikan ucapan tersebut. Para pencinta ilmu sudah pasti menantikan kedatangan Dr. Zakir Naik yang keilmuannya tidak lagi dipertikai. Perbahasan agama yang dibawa oleh Dr. Zakir Naik seringkali full house dan pecah panggung. Sesi soal jawab bukan sekadar sembang warung kopi tetapi penuh fakta dan membawa pendengar ke arah dimensi keilmuan yang berbeza. 


Namun kebelakangan ini iklim Malaysia sedikit bingung. Setiap kali datang pendakwah luar negara ke Malaysia, sudah pasti akan ada isu yang dibangkitkan. Masihkah kita ingat suatu ketika dahulu ketika Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais melawat Malaysia ada golongan yang menyebarkan berita menyesatkan Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Sehingga ada yang mengatakan bahawa kehadiran beliau untuk meluaskan jaringan dan pengaruh wahabi di Malaysia. Pada pandangan saya tuduhan tersebut sangat tidak bijak dan perlu dibuktikan. 

Apabila Dr. Zakir Naik datang ke Malaysia datang pula satu kumpulan yang membuat onar dengan pelbagai tohmahan sehingga menggangu kelancaran program. Sehingga pada 11 April 2016 satu sidang media khas perlu dibuat oleh penganjur untuk menjernihkan semula keadaan. Pihak polis terpaksa diheret untuk menyelesaikan masalah ini sedangkan Dr. Zakir Naik ialah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013. Adakah kita telah silap memberi anugerah itu kepada orang yang dilabel wahabi dan pelampau agama? Adakah ini trend Malaysia menyambut kedatangan pendakwah luar yang hadir ke Malaysia? 

Namun Malaysia sangat aman apabila menyambut barisan artis dan penghibur antarabangsa. Kita cukup aman dan damai ketika menerima artis K-POP yang memeluk anak melayu di atas pentas. Selepas kejadian peluk viral barulah netizen menyatakan bantahan di laman sosial. Kita cukup aman dengan konsert dan hiburan yang melampau. Bahkan kita amat berlapang dada dengan agen-agen hiburan yang dibayar untuk merosakkan anak-anak bangsa Malaysia. 


Saya amat tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Bin Abd Rahman yang menyatakan kehadiran Dr. Zakir Naik adalah dibawah tanggungan Dr. Zakir Naik sendiri kecuali penginapan dan makan minum yang ditanggung oleh kerajaan Negeri Terengganu. Terlintas di fikiran saya, siapa yang akan menanggung perbelanjaan Selena Gomez yang dijadualkan akan datang ke Malaysia pada 25 Julai 2016 di Malawati Indoor Arena, Shah Alam. 

Untuk mendengar syarah ilmu Dr. Zakir Naik kita hanya perlu menadah telinga secara percuma namun untuk mendengar syarahan Selena Gomez sedikit bayaran diperlukan bermula RM 285.00 hingga RM485.00 tidak termasuk RM3.00 fee tiket dan 6% GST. Tapi saya yakin kita masih berlapang dada. Bahkan ketika netizen sudah hingar tentang kos sara hidup saya yakin bayaran untuk menghadiri majlis ilmu Selena Gomez masih berada dalam ruang mampu milik rakyat Malaysia.

Saya amat bangga dengan Rakyat Malaysia yang begitu teliti dan terperinci dalam menentukan soal agama. Tahniah kepada ASWAJA yang sentiasa mengambil sikap ambil peduli terhadap siapa yang datang ke Malaysia. Sehingga MIC dan HINDRAF juga terasa begitu bertanggungjawab menjaga soal akidah dan keharmonian Islam. Sekiranya Dr. Zakir Naik dan Sheikh Dr. Abdul Rahman Sudais perlu ditapis soal ilmu dan pegangan mereka suka saya mencadangkan agar tapisan yang sama kita gunakan kepada Habib Umar Bin Hafidz yang mampu memanggil Rasulullah shallallahu alaihi wasallam datang ke majlis-majlisnya. 

Penapis yang sama kita gunakan untuk pendakwah-pendakwah dari tareqat Naqsyabandiah al-Aliyyah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mampu melihat dan berinteraksi dengan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam ketika program-program selawat perdana. Tidak keterlaluan juga saya mencadangkan jaring yang digunakan untuk menapis pendakwah seharusnya digunakan untuk menapis artis yang datang ke Malaysia. Apakah budaya dan ideologi yang mereka bawa? 

Adakah ideologi dan budaya itu sesuai dengan manhaj Ahlus Sunnah Wal jamaah yang dipegang oleh rakyat Malaysia? Janganlah kita begitu cermat dalam menapis satu golongan dan koyakkan jaringan tapisan pada satu golongan yang lain. Demi anak muda Malaysia

baca juga di http://jalurgemilang.my/2016/04/zakir-naik-vs-selena-gomez-malaysia-di-ambang-kecelaruan/

Saturday, March 26, 2016

KITA PERLUKAN NAFAS BARU DALAM HIBURAN


Terbinanya sebuah masyarakat apabila kita berjaya membina Tamadun Ilmu yang merentas segenap aspek dan sudut. Tidak kira kita berbicara dunia ataupun akhirat persolan ilmu perlu dibahaskan. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam satu hadis telah menunjukkan apakah indikator sebenar dalam mencari kejayaan di dunia dan akhirat.


“Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah ia berilmu, dan barangsiapa yang menginginkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”


Hadith riwayat Tirmidzi


Kehebatan dan kesungguhan Malaysia dalam membina tamadun ilmu tidak dapat kita sangkal. Kewujudan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ibarat ledakkan ilmu di Malaysia. Kita sedang merints jalan kejayaan dengan pengaplikasian 11 anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan pelbagai pelan strategik yang melibatkan IPT samada awam mahupun swasta di Malaysia.


Namun sedar atau tidak langkah ini sedikit terhalang apabila ada kuasa yang ketiga yang masih mahu mengekalkan masyarakat dalam kepompong songsang dan rosak. Media-media hiburan di Malaysia masih mengekalkan hiburan yang melalaikan dan bahkan ada yang keterlaluan. Suatu ketika dahulu kita berdepan dengan masalah drama dan filem berunsur ganas dan lucah namun hari ini masalah tersebut masih belum kita tanggapi tetapi hiburan di Malaysia telah semakin rosak dengan lagu-lagu yang cukup membinasakan keindahan bahasa dan tatabahasa.


KITA PERLU UBAH HIBURAN DI MALAYSIA


Islam adalah agama fitrah yang meraikan kehidupan dan jiwa manusia. Walaupun tujuan asal kita dihidupkan untuk menabdikan diri kepada Allah namun hiburan adalah aksesori kehidupan yang perlu diraikan.
Dalam hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tidak mengharamkan penyair-penyair sedangkan penyair di zaman tersebut boleh dikatakan seperti artis di zaman ini.  Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri mempunyai sahabat yang menjadi penyair seperti Hasan Ibn Thabit, Ka’ab Bin Malik dan Abdullah Bin Rawahah. Pensyair dizaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berpuisi bagi menjawab fitnah dan tomahan kaum musyrik terhadap Islam. Disamping itu mereka juga turut berdakwah dalam syair-syair mereka. Kita perlu kembali kepada fungsi hiburan seperti mana hiburan di zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hiburan yang tidak keterlaluan dan hiburan yang mendidik masyarakat, mendidik jiwa dan sudah pasti aksesori yang baik dalam usaha kita menjadi hamba kepada Allah Azzawajal.
Hiburan hari ini selain tiada nilai bahkan ketanduhan bahasa yang sopan. Rasanya perkataan “JANGAN INGAT ABANG TAK PAYUNG” atau “KAU FIKIR KAU SIAPA BOLEH BLAH” adalah perkataan yang perlu diubah agar hiburan kita lebih menepati nilai dan disiplin berhibur.
Hiburan juga ada disiplin dan batasannya. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“Rasulullah sallallahu alaihi wasallam datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu”
(Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tidak melarang wanita itu untuk menyanyi tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam melarang menyatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah insan yang mengetahu apa yang akan berlaku. Ini bermakna tidak salah untuk berhibur tetapi teks dan konteks hiburan tersebut haruslah menepati nilai kemanusiaan dan keimuan.


Penyakit hiburan yang melampau ini semakin membarah apabila hiburan telah dilekatkan dengan pelekat agama. Ahli tarekat sufi yang melampau seperti Tariqat Naqsyabandiah Al-’Aliyyah Pimpinan Syeikh Nazim yang melakukan zikir secara menari dan ini satu ruang yang melampau dalam agama. Sudah pasti kita tidak senang agama yang membawa rahmat sekalian alam ini dipusing dalil dan nas untuk membenarkan mereka menari. Itu tidak termasuk golongan yang beriqasidah dalam rumah-rumah Allah SWT yang di dalamnya sepatutnya menjadi tempat insan menyeru Tuhan dengan rendah hati dan rendah diri. Pada masa yang sama qasidah dan selawat perdana cuba claim dengan pelbagai dakwaan seperti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam hadir bersama-sama mereka berqasidah merupakan dakwaan yang memerlukan pembuktian secara ilmiah dan perlu dibahaskan. Dakwaan seperti ini mampu memberi salah tanggap masyarakat bukan Islam di Malaysia ini kepada agama Islam.


Walaupun tujuan makna hidup yang sebenar ialah pengabdian kepada Tuhan Yang Esa dan hiburan adalah aksesori kehidupan namun kita perlu membina dan menentukan aksesori yang terbaik dan mendidik kita. Bukan aksesori dan hiburan yang melampau. Bukan hiburan yang membutakan hati dan membutakan nilai fikir manusia.


JAILANI BIN MOHD YUSOFF
KOORDINATOR PROJEK SEKOLAH AWAM

Surah al-A'raf : 179

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.